Pengendali sistem rel transit di Lembah Klang, Rapid Rail Sdn Bhd telah mengumumkan waktu operasi bagi beberapa stesen rel terpilih akan dilanjutkan hingga jam 1.30 pagi pada 15 April 2023. Ia bertujuan bagi memenuhi keperluan warga kota yang ingin membuat persiapan akhir untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri.

Stesen LRT, MRT dan Monorel yang terlibat ialah LRT Laluan Kelana Jaya untuk Stesen Masjid Jamek dan KLCC, LRT Laluan Ampang/Sri Petaling bagi Stesen Masjid Jamek, MRT Laluan Kajang untuk Stesen Bukit Bintang dan Laluan Monorel yang membabitkan Stesen Bukit Bintang, Raja Chulan, Medan Tuanku dan Chow Kit.

“Stesen-stesen sambungan akan turut dilanjutkan bagi membawa penumpang ke destinasi akhir. Manakala stesen- stesen lain akan menamatkan operasi seperti biasa, tetapi penumpang masih boleh keluar dari stesen berkenaan bagi meneruskan perjalanan.

Klik untuk besarkan imej

“Penumpang juga diminta menggunakan kad Touch ‘N Go atau membeli token perjalanan pulang lebih awal untuk memudahkan perjalanan,” kata Rapid Rail menerusi kenyataan yang dikeluarkan.

Tambahnya lagi, berikutan penutupan enam stesen LRT Laluan Ampang/Sri Petang, perkhidmatan bas perantara LRT 11 juga turut dilanjutkan sehingga jam 1.30 pagi bagi membolehkan pengguna mengakses ke stesen-stesen berkenaan.

Pemakaian pelitup muka masih diwajibkan ketika menggunakan pengangkutan awam. Warga kota disaran menggunakan pengangkutan awam pada hujung minggu ini bagi mengurangkan kesesakan lalulintas di dalam pusat bandar.

Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh mengikuti Twitter dan Facebook MyRapidKL atau melayari www.myrapid.com.my.





Source link