Di Auto Shanghai 2023, Great Wall Motor (GWM) mempamerkan beberapa model kenderaan tenaga baru (NEV); di bawah jenama Haval, ada dua model yang terlibat — dengan kod nama A07 dan B07.

Pertama kali ditampilkan ialah B07 atau Xialong Max menggunakan platform LEMON GWM dengan ukuran dimensi 4,758 mm panjang, 1,895 mm lebar, 1,725 mm tinggi dengan jarak antara roda 2,800 mm. B07 adalah sebuah SUV yang saiznya lebih besar daripada Honda CR-V terkini, yang mempunyai ukuran 4,694 mm panjang, 1,864 mm lebar, 1,681 mm tinggi dengan jarak antara roda 2,700 mm.

B07 yang mirip model H6 tetapi dalam saiz lebih besar hadir dengan rekaan gril tanpa bingkai dan corak mesh di bawah lencana Haval. Lampu utama pula bersegi, dengan DRL yang jelas kelihatan. Di belakang, lampunya menyeluruh. Bukaan udara hiasan dengan kemasan krom juga ada menghiasi kawasan apron bawah di bampar belakang.

Di dalam, B07 sarat teknologi. Ini termasuk kluster instrumen digital 12.3-inci, skrin sentuh infotainmen 12.3-inci dan paparan depan penumpang. Sebuah head up display 10-inci juga ada tersedia untuk pemandu. Haval turut menyatakan terdapat 32 ruang simpanan dalam kabin, termasuk satu di bawah konsol tengah. Ada juga dua platform untuk mengecas telefon, satu daripadanya dengan ciri tanpa wayar sehingga 50 watt. Terdapat sistem bantuan pemandu maju untuk B07, termasuk kawalan melayar adaptif, bantuan mengekalkan lorong, peninjau titik buta, peninjau perhatian pemandu dan banyak lagi.

Sistem janaan pula baru dan dikenali sebagai Hi4 (Hybrid intelligent 4WD). Sistem plug-in hybrid yang ada menawarkan kecekapan tenaga sebanyak 41.5% dan memberikan 462 PS (456 hp atau 340 kW). Dua tetapan ditawarkan untuk model ini: yang pertama dengan enjin 1.5 liter turbocas empat-silinder petrol kitaran Atkinson yang menjana 109 PS (107 hp atau 80 kW) dan 135 Nm tork.

Kedua, enjin 1.5 liter turbo empat-silinder dengan kitaran Miller dengan janaan puncak 163 PS (161 hp atau 120 kW) dan 240 Nm. Kedua-duanya digandingkan dengan dua elektrik motor, dengan yang didepan membekalkan kuasa 95 PS (94 hp atau 70 kW) yang diletakkan di antara enjin dan Direct Hybrid Transmission (DHT) dua-kelajuan.

Motor kedua pula diletak di belakang dengan janaan 204 PS (201 hp atau 150 kW) dan 350 Nm untuk melengkapi sistem pacuan semua roda. Ini disertakan juga dengan Torque Vectoring Control (iVTC) pula mengawal agihan tork antara dua gandar berkenaan dengan sembilan mod pemanduan.

Kuasa untuk motor elektrik dibekalkan oleh bateri dalam dua pilihan kapasiti — 19.94 kWh dan 27.5 kWh — dengan jarak elektrik 100 km. Dalam tetapan tertinggi, output sistem keseluruhan B07 ialah 279 PS (275 hp atau 205 kW) dan 585 Nm.

Bagi A07 atau turut dikenali dengan nama Xiaolong, ia sebuah SUV yang lebih kecil dengan ukuran 4,600 mm panjang, 1,877 mm lebar, 1,675 mm tinggi dan jarak antara roda 2,710 mm — menjadikannya pengganti H6 yang paling hampir.

Rekaannya luarannya lebih menonjol dengan imej EV — ia sebetulnya sebuah model plug-in hybrid seperti yang dinyatakan pada lencana DHT-PHEV yang tertera di belakang. Sistem ini menampilkan enjin 1.5 liter empat-silinder dengan janaan 101 PS (99 hp atau 74 kW), sebuah motor elektrik dan pek bateri sama ada dengan unit 9.41 kWh (jarak 45 km, WLTP) atau 19.27 kWh (96 km).

Di dalam, A07 menampilkan kurang skrin paparan berbanding B07, dengan hanya ada dua di papan pemukanya. Konsol tengah tetap dengan rekaan dua lapisan dan dilengkapi ciri pemanduan autonomous Tahap 2.

Haval B07

Haval A07





Source link