Toyota Land Cruiser 250 Series dilancar di Jepun – pilihan enjin 2.7L petrol atau 2.8L diesel turbo

Toyota secara rasminya melancarkan Land Cruiser 250 Series di Jepun, dengan ia akan ditawarkan dalam beberapa varian termasuk First Edition. Juga dikenali sebagai Land Cruiser Prado, model 250 Series ini akan menyertai barisan 300 Series dan 70 Series yang diperkenalkan sebelum ini di negara itu.

Jika dibandingkan dengan Prado sebelumnya, model baru ini adalah lebih besar, dengan ukuran panjang 4,925 mm (+100 mm), lebar 1,980 mm (+95 mm), tinggi 1,870 mm (+20 mm) dan jarak roda 2,850 mm (+60 mm).

Penting untuk diketahui bahawa model 250 Series ini bukan lagi boleh dipanggil sebagai “adik Land Cruiser”, seperti Prado sebelum ini kerana ia juga dibina atas platform GA-F TNGA, yang turut digunakan pada Lexus GX dan LX.

Melihat kepada dimensi luar, 250 Series ini mempunyai jarak roda yang sama dengan 300 Series tetapi badannya lebih kecil, termasuk panjang keseluruhan (antara 25 ke 90 mm), lebar (antara kosong ke 10 mm) dan tinggi (75 mm).

Seperti yang dijelaskan oleh Toyota dalam salah gambar di bawah, 300 Series menjadi wakil kenderaan “kelas atasan dan mewah” dalam dunia Land Cruiser, sementara 250 Series pula terletak dalam zon “praktikal manakala 70 Series pula lebih kepada “tegap dan tahan lasak.”

Di Jepun, dua enjin ditawarkan untuk Land Cruiser 250 Series ini, bermula dengan unit diesel empat silinder 2.8 liter turbo 1GD-FTV berkuasa 204 PS (201 hp atau 150 kW) dari 3,000 ke 3,400 rpm dan tork 500 Nm dari 1,600 ke 2,800 rpm.

Kemudiannya, terdapat pula enjin petrol empat silinder 2.7 liter NA 2TR-FE dengan kuasa 163 PS (161 hp atau 120 kW) pada 5,200 rpm dan tork 246 Nm pada 3,900 rpm. Enjin petrol ini dipadankan bersama transmisi automatik enam kelajuan Super ECT manakala enjin diesel turbo digabungkan besama transmisi automatik lapan kelajuan Direct Shift.

Kedua-dua pakej penggerak ini datang secara standard dengan sistem pacuan empat roda dengan limited-slip differential Torsen tengah serta pengunci differential belakang elektronik. Stabiliser hadapan juga boleh dilaras daripada bebas kepada dikunci pada kelajuan atas 30 km/j menggunakan butang dalam kabin. Pemandu disediakan dengan enam mod Multi-Terrain Select, bersama Multi-Terrain Monitor yang menggunakan kamera untuk memberi penglihatan yang jelas apabila melalui jalan offroad.

Toyota Land Cruiser 250 Series dilancar di Jepun – pilihan enjin 2.7L petrol atau 2.8L diesel turbo

Ada tiga gred yang ditawarkan pada 250 Series ini iaitu GX, VX dan ZX. Gred VX boleh didapati dengan enjin petrol atau diesel, sementara GX dan ZX pula cuma datang pada model diesel. Harga bermula dari 5.2 juta yen (sekitar RM161k), iaitu untuk GX diesel, manakala VX petrol dijual pada harga 5.45 juta yen (RM169k). Harga untuk VX dan ZX diesel masing-masing adalah 6.3 juta yen (RM195k) dan 7.35 juta yen (RM228k).

Pelanggan di Jepun juga boleh mendapatkan varian ZX dan VX sebagai model First Edition, yang ditawarkan dalam jumlah terhad 8,000 unit. Model First Edition ini menampilkan rekaan yang berbeza termasuk menggunakan lampu bulat di hadapan, dan mengambil inspirasi daripada Land Cruiser sebelum ini.

Kedua-dua 250 Series gred VX dan ZX boleh datang dengan sehingga tujuh tempat duduk (2-3-2), manakala GX pula hanya menyediakan lima tempat duduk. Semua gred 250 Series ini datang dengan sistem bantuan pemandu Toyota Safety Sense, yang memberikan antaranya Autonomous Emergency Braking, Adaptive Cruise Control dan pelbagai lagi. Sebagai tambahan kepada aksesori asli Toyota dan Modellista, pelanggan juga boleh mendapatkan pelbagai barangan daripada JAOS dan Toy-Factory.

GALERI: Toyota Land Cruiser 250 Series 2024

GALERI: Toyota Land Cruiser 250 Series First Edition 2024

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.





Source link