Neta Malaysia sebelum ini berkongsi perancangan jenama itu untuk pasaran tempatan. Dan, untuk tahun ini, ada dua model baru yang akan diperkenalkan, iaitu Aya dan X. Perancangan untuk pemasangan CKD bagi kedua-duanya juga sudah berada dalam perancangan, dengan paling awal model Aya CKD dirancang untuk diperkenalkan pada Mac 2025 nanti.
Dalam perkembangan terkini, unit CBU dari China bagi Neta X sudah pun tiba di Port Klang, Malaysia. Ia akan dipertonton secara kepada umum ketika acara Malaysia Autoshow hujung Mei nanti. Namun, pra-tempahan bagi model ini akan dibuka bermula Isnis, 6 Mei 2024 secara dalam talian ataupun melalui rangkaian pengedar sah Neta.
Maklumat awal, Neta X ini akan diperkenalkan dalam dua varian untuk pasaran Malaysia. Versi 400 (dengan jarak perjalanan 400 km) akan dijual pada harga jangkaan di bawah RM125k, sementara versi 500 pula pada harga jangkaan di bawah RM140k. Jika dilihat kepada penawaran harganya, Neta X akan bersaing secara langsung dengan model seperti BYD Atto 3, yang harganya bermula sekitar RM130k.
Neta di Malaysia merupakan usahasama antara GoAuto dan juga Careplus melalui penubuhan dua syarikat baru berasingan — NexV Manufacturing Sdn Bhd (NMSB) yang akan menguruskan hal-hal pengilangan dan pengeluaran, sementara Intro Synergy Sdn Bhd (ISSB) akan bertindak menguruskan pengedaran dan jualannya. Dengan kilang yang dijangka mula beroperasi pada suku pertama 2025 nanti, Neta nampak serius untuk mengukuhkan kedudukannya dalam pasaran EV tempatan.
Kilang yang sedang dibangunkan itu juga adalah kilang pemasangan EV yang pertama di Malaysia dan akan mula beroperasi pada suku pertama 2025. Kilang berkenaan bakal mempunyai kapasiti permulaan sebanyak 30,000 unit setahun, dan ia bukan sahaja menghasilkan EV dalam bentuk kereta-kereta penumpang, malah turut bakal memasang kenderaan-kenderaan komersil serta motosikal yang menggunakan kuasa elektrik sepenuhnya.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.