Honda akan lancar tujuh EV global ‘O Series’ – sasaran elektrifikasi penuh menjelang 2040 dikekalkan


Honda akan lancar tujuh EV global ‘O Series’ – sasaran elektrifikasi penuh menjelang 2040 dikekalkan

Semasa taklimat perniagaan syarikat baru-baru ini, Honda menghuraikan inisiatif elektrifikasi serta strategi pelaburan mereka untuk tahun-tahun yang akan datang. Sebagai permulaan, syarikat itu menyatakan, ia masih tidak mengubah kepercayaan bahawa kenderaan elektrik (EV) adalah penyelesaian yang terbaik bagi kenderaan kecil seperti motosikal dan kereta.

Oleh kerana itu, ia masih mengekalkan sasaran elektrifikasi untuk menjadikan EV dan kenderaan elektrik fuel cell (FCEV) sebagai 100% penyumbang kepada jualan kenderaan global mereka menjelang 2040. “Melihat kepada trend ini bagi jangka masa panjang, Honda yakin peralihan kepada EV akan diteruskan secara kukuh,” kata pengarah, presiden Honda, Toshihiro Mibe.

“Tanpa terperangkap dalam perubahan semasa dalam situasi ini, Honda perlu memandang jauh ke waktu EV sudah diterima ramai, yang mana akan bermula pada separuh kedua tahun 2020-an dan membina jenama serta perniagaan EV yang kuat daripada perspektif pertengahan dan juga jangka masa panjang,” tambah beliau.

Honda akan lancar tujuh EV global ‘O Series’ – sasaran elektrifikasi penuh menjelang 2040 dikekalkan

Syarikat itu juga kekal dengan perancangan yang diumumkan tiga tahun lalu untuk menjadikan EV dan FCEV penyumbang kepada 40% daripada jualan automotif global menjelang 2030, dan mengeluarkan lebih daripada dua juta EV. Untuk menyokong rancangan pengeluaran ini, Honda akan mewujudkan rangkaian nilai EV dengan fokus kepada bateri di bahagian pusat.

Sasaran yang dibuat untuk inisiatif ini adalah termasuk mengurangkan kos bateri yang dihadapi di Amerika Utara kepada lebih 20% berbanding sekarang, menjelang 2030. Ia kemudiannya akan disokong oleh kerjasama dengan LG Energy Solution, yang akan menyaksikan sebuah kilang bateri EV dengan kapasiti tahunan 40 GWh mula beroperasi pada tahun 2025.

Syarikat ini juga mempunyai kerjasama dengan GS Yuasa di Kanada untuk membangunkan bateri EV yang boleh dikeluarkan sendiri. Honda kemudiannya akan meneruskan pengeluaran dengan mengeluarkan bahan cathode bersama POSCO Future M, dan separator dengan Asahi Kasei.

Honda akan lancar tujuh EV global ‘O Series’ – sasaran elektrifikasi penuh menjelang 2040 dikekalkan

Berkenaan produk, Honda 0 Series (siri EV global) akan terdiri daripada tujuh model, yang akan dilancarkan secara global menjelang 2030 dalam beberapa segmen. Kenderaan-kenderaan ini akan mengikuti konsep M/M (Man Maximum, Machine Minimum) dan dijangka menjadi 100 kg lebih ringan berbanding EV asalnya.

Model pertama 0 Series ini akan diperkenalkan pada separuh kedua 2020 dan datang dengan UX (User Experience) digital, system-on-chip (SOC) untuk AI, ADAS dan beberapa ECU untuk keseluruhan kenderaan.

Untuk pasaran China, secara keseluruhannya 10 EV jenama Honda akan diperkenalkan menjelang 2027, dengan EV dirangka menyumbang 100% kepada jualan kenderaan jenama tersebut di China menjelang 2035. Sekarang ini, model siri Ye sudah diperkenalkan, untuk menyertai siri e:N yang sudah sedia dijual.

Di Jepun, EV kegunaan komersial, N-Van e: akan mula dijual tidak lama lagi, sementara motosikal elektrik yang dipacu oleh Honda Mobile Power Pack e: (MPP) pula juga akan dilancarkan tahun ini. Menjelang tahun kewangan 2026, dua lagi kenderaan dengan MPP akan dilancar.

Berkenaan kenderaan elektrik hibrid (HEV), Honda memberitahu masih terdapat permintaan yang kuat untuk model tersebut dalam pasaran, jadi mereka akan terus memperbaharui prestasinya, serta menambah baik barisan model tersebut di seluruh dunia.

Semua perancangan ini memerlukan pelaburan yang besar, dan disebabkan itu Honda mempunyai perancangan untuk melabur sekitar 10 trilion yen (sekitar RM300 bilion) dalam sumber-sumber berkaitan untuk tempoh 10 tahun, sehingga 2031.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.





Source link