GWM Ora 07 Performance 2024 — EV jana 408 PS/680 Nm, jarak 483 km WLTP, tiba di M’sia bulan ini


GWM Ora 07 Performance 2024 — EV jana 408 PS/680 Nm, jarak 483 km WLTP, tiba di M’sia bulan ini

Great Wall Motor Malaysia telah mengumumkan yang EV Ora 07 Performance bakal tiba di Malaysia pada hujung bulan ini, selepas model Ora 07 diperkenalkan di sini April lalu.

Dijual pada harga RM189,800 atas jalan tidak termasuk insurans, Ora 07 Performance merupakan varian yang lebih tinggi bagi model berkenaan, dengan satu lagi varian yang turut ditawarkan ialah Ora 07 Long Range dengan harga RM169,800.

Ora 07 Performance dilengkapi dengan dua motor elektrik dan menjadikannya pacuan semua roda, dengan janaan 408 PS dan 680 Nm dan boleh memecut 0-100 km/j dalam masa 4.3 saat serta mencapai kelajuan maksimum 180 km/j. Bateri 83.5 kWh memberikan jarak perjalanan sehingga 483 km WLTP.

GWM Ora 07 Performance 2024 — EV jana 408 PS/680 Nm, jarak 483 km WLTP, tiba di M’sia bulan ini

Kedua-dua Long Range dan Performance dilengkapi dengan pengecasan pantas dan mampu menerima pengecasan DC 88 kW yang hanya memerlukan 32 minit untuk membekalkan tenaga dari 32% kepada 80%. Ia juga boleh menerima pengecasan AC sehingga 11 kW yang memerlukan 15 jam untuk penuh. Ciri vehicle-to-load (V2L) juga boleh membekalkan elektrik 3.3 kW.

Rim menggunakan saiz 19-inci untuk Ora 07 Performance, dengan tayar Michelin Pilot SPort EV saiz 235/45R19 di depan dan belakang. Varian dengan output lebih tinggi ini juga dibezakan dengan penggunaan angkup brek merah.

Di dalam, Ora 07 menerima ruang paparan digital 10.25-inci, sementara infotainmen boleh diakses melalui skrin sentuh di tengah bersaiz 12.3-inci yang menyokong Apple CarPlay dan Android Auto. Turut tersedia ialah pengecas telefon tanpa wayar Qi.

GWM Ora 07 Performance 2024 — EV jana 408 PS/680 Nm, jarak 483 km WLTP, tiba di M’sia bulan ini

Kelengkapan lain yang ada termasuklah sistem tanpa kunci dengan butang Push Start, head-up display, kerusi depan larasan kuasa dengan liang dan fungsi urut, lampu ambient dengan mod ritma yang beriringan dengan muzik yang dimainkan, sistem bunyi dengan 11-pembesar suara Infinity, sistem kamera 360-darjah dan bukaan pintu but bebas kendalian tangan.

Untuk keselamatan, ia dilengkapi dengan ciri AEB, ACC dengan Stop/Go, bantuan ke tengah lorong, sistem Intelligent Evade, peninjau titik buta, amaran lintasan trafik di belakang dengan brek automatik, pengesan papan tanda jalan, bantuan parkir dan lampu tinggi automatik.

Kemasan kulit coklat yang ada ini adalah khusus untuk varian Performance. Pembeli varian Long Range bagaimanapun masih boleh memilih kemasan yang sama dengan kos tambahan RM2,500. Model ini diberikan jaminan enam-tahun atau 150,000 km, dengan jamina lapan-tahun atau 180,000 km untuk bateri dan motornya.

GWM Ora 07 Performance di Malaysia

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.





Source link