Proton hari ini mendedahkan jenama EV syarikat itu yang akan dikenali sebagai Proton eMAS (dieja e.MAS), melambangkan nama dengan teknologi elektrik yang bakal diperkenalkan kelak. Nama ini dipilih melalui peraduan teka nama bagi jenama EV Proton tersebut, yang mencatatkan sebanyak 25,432 penyertaan yang berlangsung selama 16 hari bermula 20 Mei-5 June 2024.
Proton turut memperkenalkan logo rasmi bagi jenama EV ini, yang merupakan lanjutan yang lebih ringkas daripada logo asal kepala harimau sedia ada. Susulan daripada perkembangan ini juga, Proton turut mengumumkan yang model pertama Proton eMAs ini akan diperkenalkan menjelang hujung tahun ini juga.
Turut diumumkan pada majlis ini ialah pelantikan 17 pengedar EV Proton pertama yang telah memeterai perjanjian mereka pada awal hari ini. Permohonan kini dibuka untuk peniaga yang berminat menjadi pengedar dan sasaran awal adalah membuka 30 cawangan menjelang 2025 dengan rancangan mengembangkan rangkaian jualan mengikut keperluan pasaran.
Setakat ini, dimaklumkan bahawa model pertama itu nanti akan menggunakan asas dari Geely Galaxy E5, seperti yang dibayangkan dalam poster peraduan berkenaan. Model berkenaan menggunakan platform Global Intelligent New Energy Architecture (GEA), yang dibangunkan untuk Sustainable Experience Architecture (SEA) dan khusus untuk kenderaan EV.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.